Kali ini, kami ingin berkongsi tentang cara mudah untuk menternak lebah kelulut. Secara ringkasnya, penternakan lebah kelulut boleh dibahagi kepada 5 tugasan utama. Langkah pertama adalah mendapatkan log yang mempunyai koloni kelulut. Anda boleh mencari sendiri log kelulut ini yang biasanya terdapat di dalam hutan ataupun dusun buah-buahan. Anda juga boleh membeli log yang mempunyai koloni kelulut daripada pembekal-pembekal yang telah sedia ada. Harga pasaran bagi log kelulut ini adalah antara RM300 hingga RM1000, bergantung kepada saiz log dan jenis kelulut yang terdapat di dalamnya.
Log kelulut yang belum dipotong |
Setelah mendapatkan log kelulut, anda perlu memotong log tersebut untuk dibuat topping dan memasang kotak haif di atasnya. Ada juga pengusaha yang membuat kaedah pemindahan koloni dengan memasukkan keseluruhan sarang kelulut ke dalam kotak khas untuk penuaian madu. Perlu diingatkan bahawa pemotongan log hendaklah dibuat secara berhati-hati bagi memastikan kedudukan kantung madu dan telur tidak terjejas. Pemotongan yang tepat boleh membantu penternak mendapat hasil yang lebih cepat. Bagi penternak yang baharu, penulis lebih mengesyorkan kaedah topping kerana ianya lebih mudah dan cepat mendatangkan hasil.
Log kelulut dipotong untuk dibuat topping |
Log kelulut yang lengkap dengan kotak haif |
Langkah ketiga adalah pemasangan kotak haif yang diperbuat daripada kayu untuk tuaian madu. Saiz kotak bergantung kepada kesesuaian dan saiz log kelulut. Biasanya saiz kotak haif adalah antara 300mm sehingga 600mm dan tinggi kotak pula adalah antara 50mm sehingga 200mm. Kebiasaannya, plastik transparen diletakkan di bahagian atas kotak haif. Ini bagi memudahkan penternak meninjau perkembangan koloni kelulut, misalnya sudah naik ke belum, sudah ada kantung madu ke belum....dan sebagainya.
Setelah selesai memasang kotak haif pada log kelulut, proses penternakan kelulut kini sudah bermula. Tinjauan dan pemeriksaan berkala perlu dilakukan bagi memastikan koloni kelulut tiada gangguan musuh seperti anai-anai, lipas, cicak, semut dan lain-lain. Anda juga boleh meninjau perkembangan koloni kelulut samada sudah membina kantung madu atau belum. Sebagai contoh, koloni dari spesies Trigona Itama mengambil masa antara dua minggu hingga empat minggu untuk menghasilkan tempayan yang berisi madu, bergantung kepada kerajinan koloni tersebut.
Anda sudah boleh menuai madu dari dalam kotak haif setelah koloni kelulut membina tempayan kecil yang berisi madu dengan secukupnya. Secara purata, setiap tempayan madu dari spesies Trigona Itama mengandungi 3ml hingga 5ml. Berapa ml yang anda mahu....misalnya jika anda mahukan 200ml madu kelulut, anda perlu tunggu bilangan kantung madu sehinnga mencapai lebih kurang 50 biji.
Anda boleh menyedut madu daripada kantung-kantung di dalam kotak haif dengan menggunakan alat sedutan manual ataupun mesin penyedut yang direka khas. Kebiasaannya, alat penyedut yang digunakan adalah seperti picagari atau mesin penyedut yang direka khas. Anda boleh menyimpan hasil madu yang diperoleh di dalam bekas kaca seperti botol untuk tahan lebih lama.
Secara ringkas, proses penternakan kelulut ini dipaparkan didalam klip video seperti dibawah.
Diharapkan perkongsian kami ini dapat memberi sedikit manfaat kepada anda yang berminat untuk menjadi penternak kelulut. Selamat maju jaya dari kami di Nadz-Bio. Untuk sebarang pertanyaan, boleh SMS/Whatsapp ke 0173182835 atau datang sendiri ke lokasi ladang ternakan kelulut kami di To' Uban, Pasir Mas, Kelantan.
No comments:
Post a Comment