Madu Kelulut dan Set Penjagaan Kulit Wajah (BBeauty Skincare) Propolis Kelulut

Madu Kelulut dan Set Penjagaan Kulit Wajah (BBeauty Skincare) Propolis Kelulut
Kami pengusaha ternakan kelulut untuk tuaian madu serta propolis. Kami menjual madu kelulut asli serta set penjagaan kulit wajah (BBeauty Skincare) propolis kelulut yang baik untuk kulit. Untuk tempahan dan sebarang pertanyaan,text/whatsapp 0173182835

Friday, 5 June 2015

PENTERNAKAN LEBAH KELULUT

Kali ini, kami ingin berkongsi tentang cara mudah untuk menternak lebah kelulut. Secara ringkasnya, penternakan lebah kelulut boleh dibahagi kepada 5 tugasan utama. Langkah pertama adalah mendapatkan log yang mempunyai koloni kelulut. Anda boleh mencari sendiri log kelulut ini yang biasanya terdapat di dalam hutan ataupun dusun buah-buahan. Anda juga boleh membeli log yang mempunyai koloni kelulut daripada pembekal-pembekal yang telah sedia ada. Harga pasaran bagi log kelulut ini adalah antara RM300 hingga RM1000, bergantung kepada saiz log dan jenis kelulut yang terdapat di dalamnya.

Log kelulut yang belum dipotong


Setelah mendapatkan log kelulut, anda perlu memotong log tersebut untuk dibuat topping dan memasang kotak haif di atasnya. Ada juga pengusaha yang membuat kaedah pemindahan koloni dengan memasukkan keseluruhan sarang kelulut ke dalam kotak khas untuk penuaian madu. Perlu diingatkan bahawa pemotongan log hendaklah dibuat secara berhati-hati bagi memastikan kedudukan kantung madu dan telur tidak terjejas. Pemotongan yang tepat boleh membantu penternak mendapat hasil yang lebih cepat. Bagi penternak yang baharu, penulis lebih mengesyorkan kaedah topping kerana ianya lebih mudah dan cepat mendatangkan hasil. 

Log kelulut dipotong untuk dibuat topping
Log kelulut yang lengkap dengan kotak haif


Langkah ketiga adalah pemasangan kotak haif yang diperbuat daripada kayu untuk tuaian madu. Saiz kotak bergantung kepada kesesuaian dan saiz log kelulut. Biasanya saiz kotak haif adalah antara 300mm sehingga 600mm dan tinggi kotak pula adalah antara 50mm sehingga 200mm. Kebiasaannya, plastik transparen diletakkan di bahagian atas kotak haif. Ini bagi memudahkan penternak meninjau perkembangan koloni kelulut, misalnya sudah naik ke belum, sudah ada kantung madu ke belum....dan sebagainya. 

Setelah selesai memasang kotak haif pada log kelulut, proses penternakan kelulut kini sudah bermula. Tinjauan dan pemeriksaan berkala perlu dilakukan bagi memastikan koloni kelulut tiada gangguan musuh seperti anai-anai, lipas, cicak, semut dan lain-lain. Anda juga boleh meninjau perkembangan koloni kelulut samada sudah membina kantung madu atau belum. Sebagai contoh, koloni dari spesies Trigona Itama mengambil masa antara dua minggu hingga empat minggu untuk menghasilkan tempayan yang berisi madu, bergantung kepada kerajinan koloni tersebut. 

Anda sudah boleh menuai madu dari dalam kotak haif setelah koloni kelulut membina tempayan kecil yang berisi madu dengan secukupnya. Secara purata, setiap tempayan madu dari spesies Trigona Itama mengandungi 3ml hingga 5ml. Berapa ml yang anda mahu....misalnya jika anda mahukan 200ml madu kelulut, anda perlu tunggu bilangan kantung madu sehinnga mencapai lebih kurang 50 biji. 

Anda boleh menyedut madu daripada kantung-kantung di dalam kotak haif dengan menggunakan alat sedutan manual ataupun mesin penyedut yang direka khas. Kebiasaannya, alat penyedut yang digunakan adalah seperti picagari atau mesin penyedut yang direka khas. Anda boleh menyimpan hasil madu yang diperoleh di dalam bekas kaca seperti botol untuk tahan lebih lama. 

Secara ringkas, proses penternakan kelulut ini dipaparkan didalam klip video seperti dibawah. 




Diharapkan perkongsian kami ini dapat memberi sedikit manfaat kepada anda yang berminat untuk menjadi penternak kelulut. Selamat maju jaya dari kami di Nadz-Bio. Untuk sebarang pertanyaan, boleh SMS/Whatsapp ke 0173182835 atau datang sendiri ke lokasi ladang ternakan kelulut kami di To' Uban, Pasir Mas, Kelantan. 

Sunday, 31 May 2015

LEBAH KELULUT PEMBAWA RAHMAT KEPADA ALAM

Log kelulut
Kali ini kami ingin berkongsi dengan pembaca tentang lebah kelulut yang membawa rahmat kepada penghuni alam ini. Secara ringkasnya kelulut membawa empat rahmat utama kepada manusia dan alam ini, iaitu penghasilan madu, propolis, pollen atau bee bread serta ejen pendebungaan semulajadi.

Sarang kelulut bersama kotak haif

Umum mengetahui bahawa madu kelulut amat bernilai dan tinggi khasiatnya. Malah, mengikut kajian, madu kelulut lebih tinggi khasiatnya jika dibandingkan dengan madu lebah (apis). Madu kelulut dikatakan mampu mengubati pelbagai penyakit yang serius sebagaimana tercatat di dalam Al-Quran surah An-Nahl ayat 68 dan 69 yang bermaksud “Dan Tuhanmu mengilhamkan kepada lebah: Buatlah sarang-sarang di bukit-bukit , di pohon-pohon kayu dan di tempat yang dibuat manusia.” “Dari perut lebah itu keluar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat ubat yang menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kebesaran Tuhan) bagi orang-orang yang memikirkan.”

Selain itu, khasiat madu kelulut juga telah tercatat di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh  Abu Hurairah R.A. yang bermaksud “sesiapa menjilat (meminum) madu 3 pagi setiap bulan, tidak akan ditimpa bala (penyakit) berat”. Kajian secara klinikal oleh beberapa universiti tempatan dan antarabangsa serta pihak MARDI telah menunjukkan bahawa madu kelulut berupaya mengurangkan masalah seperti kencing manis, darah tinggi, strok, kanser, hepatitis dan lain-lain penyakit kronik.

Kelulut juga boleh menghasilkan propolis daripada kantung-kantung madu. Propolis sememangnya telah terbukti secara klinikal mampu mengatasi masalah berkaitan kulit seperti jerawat, jeragat dan bintik-bintik hitam, selain melembap, mencerah dan memutihkan kulit. Malah, propolis sejak sekian lama telah digunakan oleh pakar-pakar kecantikan di dalam industri kecantikan dan kesihatan. 


Gambar menunjukkan madu kelulut yang disimpan di dalam
kantung-kantung propolis
Madu kelulut yang telah siap dibotolkan




Selain itu, kelulut juga menghasilkan bee bread atau lebih dikenali dengan panggilan pollen. Pollen juga sangat terkenal didalam bidang makanan kesihatan. Ia dikatakan mampu menguatkan minda dan merangsang sel-sel otak menjadikan penggunanya lebih cerdas dan cergas. Pollen digunakan dengan meluas di dalam penghasilan makanan kesihatan termasuklah bagi kanak-kanak dan dewasa.

Gambar menunjukkan bee bread atau pollen (berwarna kekuningan) yang terdapat di dalam kantung
Selain manusia, kelulut juga telah memberi manfaat besar kepada tumbuh-tumbuhan. Ia dikatakan menjadi ejen pendebungaan semulajadi sehingga pokok buah-buahan berbuah dengan lebatnya. Kajian yang dilakukan oleh pihak berkuasa seperti MARDI telah menunjukkan kelulut adalah ejen pendebungaan terbaik bagi pokok buah-buahan seperti belimbing, durian, rambutan, nangka dan lain-lain. Pihak kami juga mendapati pokok-pokok di sekeliling seperti rambutan, nangka, machang dan limau berbuah semakin lebat setelah kami menternak kelulut.


Gambar menunjukkan bunga limau dan buah machang yang lebat
Gambar menunjukkan pokok nangka yang berbuah lebat

Gambar menujukkan rambutan yang berbunga dengan banyaknya

Untuk keterangan lanjut, sila SMS/Whatsapp ke 0173182835 atau ikuti instagram kami : NADZ-Bio atau facebook kami : Nadz-Bio